Saturday 11 August 2012

Pengorbanan 11 tahun berbaloi-Pandalela




PANDELELA Rinong yang mencatat sejarah menduduki tempat ketiga acara 10m papan anjal semalam menganggap pengorbanan dilalui selama 11 tahun untuk memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik itu, sebagai berbaloi.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakannya, penerjun berasal dari Sarawak itu berkata, tempoh lapan jam sehari yang dihabiskan untuk latihan tidak sia-saia apabila dia berupaya menggembirakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya itu.


“Melihat kembali, tempoh 11 tahun untuk terbabit dalam sukan ini agak lama. Begitu banyak pengorbanan dan ranjau yang saya harungi. Tapi, hari ini, saya berasa bangga dan gembira kerana menang pingat gangsa itu,” katanya di Perkampungan Sukan semalam.

Turut hadir untuk mengucapkan tahniah kepada penerjun itu adalah ketua kontinjen, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang menganggap pencapaian itu sebagai membanggakan .Kelmarin, Pandelela yang menjadi peserta kelapan daripada 12 pesaing membuat terjunan di final acara berkenaan, mengumpul 359.50 mata keseluruhan selepas menamatkan lima terjunan. Dia memulakan cabaran dengan terjunan kurang memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-10 selepas terjunan pertama dengan meraih 58.50 mata, diikuti kedudukan kesembilan (78.30) selepas terjunan kedua sebelum kembali ke-10 (64.00) pada terjunan ketiga dan ketujuh (81.60) selepas aksi keempat. Dia melonjakkan dirinya ke tangga ketiga (76.80) dan berada di kedudukan pingat pada terjunan terakhir.


“Saya gembira dan berasa bangga dengan diri saya sendiri kerana dapat mencipta sejarah untuk negara. Saya berasa puas hati walaupun gangsa kerana bagi saya, pingat itu bagaikan emas,” katanya yang cuba menelefon emaknya, Hartini Lamin sebaik tamat acaranya itu.



Seperti diduga, Chen Roulin dari China yang juga juara dunia acara individu dan seirama mempertahankan pingat emas yang dimenenanginya di Beijing empat tahun lalu. Roulin dianggap berada dalam kelas tersendiri apabila sentiasa berada di tangga teratas setiap terjunan untuk mengumpul 422.30 mata keseluruhan.

Perak milik Brittany Broben dari Australia yang mengumpul 366.50 mata. Rakan senegaranya, Mellisa Wu pula memperoleh 358.10 untuk tempat keempat.


“Saingan sangat sengit. Jika dilihat jarak saya dengan peserta tempat keempat hanya dipisahkan dengan satu mata saja,” katanya.

Pandelela turut mengharapkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan melanjutkan kontrak jurulatih dari China, Yang Zhuliang yang akan tamat tempohnya tidak lama lagi.


“Dia menjadikan saya seperti mana hari ini. Jika boleh, saya mahukan jurulatih itu dikekalkan kerana saya ada mendengar berita yang dia mahu ke Australia,” katanya.


No comments:

Post a Comment