Saturday 11 August 2012

‘Pelaburan berbaloi’



TUN Ahmad Sarji Abdul Hamid tidak menganggap Road to London sebagai satu kegagalan dan membazirkan wang rakyat walaupun program itu menelan belanja RM20 juta.

Sebaliknya, Chef de Mission negara itu mahu melihat program itu dari perspektif berbeza berbanding apa yang diluahkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas pencapaian atlet negara di London 2012, kelmarin.

Bagi Ahmad Sarji, nilai RM20 juta itu sepatutnya dianggap satu pelaburan untuk jangka panjang demi kemajuan sukan di Malaysia dan jumlah itu pada pandangannya, tidak begitu besar jika dibandingkan dengan beberapa negara lain.

“Saya tidak mahu dilaga-lagkan dengan Menteri. Beliau seorang Menteri Sukan yang baik. Tapi kami mungkin mempunyai pandangan berbeza. Jika beliau bercakap mengenai pingat emas, ya mungkin Road to London itu tidak begitu berjaya.

“Tapi, beliau mungkin bercakap sebelum bermulanya acara Pandelela dan baginya wang sebanyak itu bagaikan satu pembaziran,” katanya kepada wartawan di Perkampungan Sukan, semalam.

Kelmarin, Ahmad Shabery dilapor berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji semula peruntukan untuk atlet ke Rio 2016 apabila Program Road To London ini yang menelan belanja RM20 juta gagal menghasilkan pingat emas.

Ahmad Sarji berkata, sebahagian besar atlet Malaysia yang beraksi di London 2012 memberikan yang terbaik hingga mendorongnya untuk berasa bangga dengan mereke.

“Mungkin mereka tidak memenangi pingat seperti Pandelela (Rinong) dan (Lee) Chong Wei, tapi sebahagian besar daripada mereka begitu menakjubkan dengan beraksi bersungguh-sungguh hingga membuatkan saya berasa bangga,” katanya yang mengaku menyaksikan hampir semua acara membabitkan atlet Malaysia.

Sambil memberi contoh atlet badminton, terjun, memanah, berbasikal dan lawan pedang begitu membanggakan, beliau tidak menolak ada juga atlet yang gagal mencapai keputusan diharapkan daripada mereka.

“Tapi, itu tidak bermakna program itu gagal sepenuhnya kerana kita harus melihat pekara itu secara keseluruhan,” katanya.

Malaysia setakat ini hanya mempunyai satu perak dan satu gangsa. Perak diperoleh menerusi Lee Chong Wei yang tewas kepada Lin Dan di final acara perseorangan badminton manakala Pandelela Rinong menghadiahkan gangsa melalui acara terjun 10m platform individu, senmalam.

No comments:

Post a Comment