Saturday 11 August 2012

Mati selepas di belasah tiga lelaki


KUALA BERANG: “Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya sebaik melihat anak yang sebelum ini sihat, terbaring lemah dengan kecederaan di kaki dan hidung berdarah,” kata Rohana Muda, 47, ibu kepada Ahmad Tarmimi Johari, 25, yang meninggal dunia akibat dibelasah tiga lelaki di Kampung Tajin, Rabu lalu.
Mangsa yang juga anak sulung daripada lima beradik, meninggal dunia pada jam 8.24 malam ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat parah di kepala.


Menceritakan kejadian itu, Rohana yang juga ibu tunggal kepada lima anak berkata, kejadian malang menimpa mangsa yang juga anak lelaki tunggalnya disedari anak bongsu, Fathanatul Huda, 13, jam 7 pagi selepas melihat abangnya tidak sedarkan diri di luar rumah.

“Sebaik dimaklumkan anak, saya segera keluar dan terkejut melihat luka di kaki arwah manakala hidungnya berdarah lalu segera menghubungi ambulans.


“Ahmad Tarmimi dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke HSNZ dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.24 malam hari sama,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Tajin, semalam.



Menurut Rohana, dia dan keluarganya berbuka bersama anaknya itu Selasa lalu, sebelum Ahmad Tarmimi keluar dan pulang kira-kira jam 12 malam dipercayai untuk mengambil rokok di kedai runcit diusahakannya.





“Saya ingatkan Ahmad Tarmimi terus tidur sebelum terdengar bunyi pintu, tetapi tidak tahu arwah ke mana. “Ketika mengemas bilik Selasa lalu, arwah ada berkata tiada orang akan mengganggunya tidur selepas ini dan ingin terus tidur. “Dia yang sebelum ini suka melengah-lengah kerja atau memberi pelbagai alasan jika kita meminta tolong, bersikap sebaliknya apabila akur dengan permintaan ibu saudara memintanya mengangkat tong gas,” katanya.



Jenazah Ahmad Tarmimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tajin, kelmarin selepas solat Asar.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, tiga suspek masing-masing berusia 20, 21 dan 23 tahun ditahan susulan kejadian itu.


Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan seorang suspek apabila mangsa dikatakan menampar suspek dalam pertengkaran jam 9.45 malam, Selasa lalu.



Menurutnya, suspek yang tidak berpuas hati memanggil dua lagi rakan untuk berjumpa mangsa sebelum berlaku pergaduhan antara mereka kira-kira jam 1.30 pagi, Rabu lalu.



“Dalam pergaduhan itu, mangsa dipercayai dibelasah dan cedera di kepala akibat terhentak dengan objek kuat dipercayai simen atau tanah. “Selepas membelasah mangsa, ketiga-tiga suspek menghantar mangsa ke rumahnya yang terletak kira-kira 700 meter dari lokasi dia dibelasah, dengan motosikal.



“Ketiga-tiga suspek, iaitu dua dari kampung sama dan seorang dari Kampung Bukit Gemuruh, di sini, ditahan di rumah mereka dua jam selepas laporan kejadian dibuat ibu mangsa,” katanya, semalam.



Menurutnya, mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment